KUALA LUMPUR: Seramai 39 siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 22 keluarga angkat terdiri daripada usahawan dan syarikat bergelar jutawan terpilih menjadi perintis program mentor 1IPTA 1 Menteri.Program anak angkat siswazah menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengajian Tinggi itu membabitkan peruntukan RM150,000 sebahagian program Berpakej Siswazah Tani kementerian bertujuan melatih mereka bergelar usahawan muda berjaya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, program itu dilaksanakan untuk memberi pendedahan, bimbingan dan latihan praktikal kepada siswazah bagi membudayakan bidang perniagaan di kalangan belia.
“Kementerian menyambut baik saranan kerajaan menjadikan bidang pertanian sebagai satu bentuk perniagaan bukan semata-mata aktiviti sara diri kerana bidang ini memberi sumbangan besar kepada pembangunan modal insan,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian, di sini, semalam.
Sementara itu, kumpulan siswazah terpilih dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu siswazah lepasan UPM 25 ditempatkan bersama keluarga angkat masing-masing selama tiga minggu. Siswazah tahun satu UPM, 14 orang akan menjalani latihan dalam kerja selama tiga hari iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi tempoh empat minggu.
Menurut Noh, pecahan kumpulan itu membuka peluang kepada siswazah yang sudah tamat pengajian di universiti untuk menimba ilmu perniagaan sehingga mampu menjadi usahawan berjaya dan memiliki perniagaan sendiri kelak.
“Kementerian memang menggalakkan program keusahawanan di kalangan siswazah kerana kami sudah ada peruntukan dan program latihan untuk golongan ini dalam usaha membantu mereka membuka perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata, program itu menjadi landasan kepada peserta mematangkan jati diri di samping meluaskan jaringan perhubungan, bertukar pendapat, berkongsi pengetahuan dan teknologi bersama keluarga angkat masing-masing.
Sumber : MyMetro






