Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang dalam blognya dan juga akhbar baru-baru ini mengatakan bahawa saya tidak faham amalan parlimen dan prosedur Dewan Undangan Negeri walaupun dah empat penggal menjadi ahli parlimen apabila saya mencadangkan SELCAT harus menjalankan siasatan secara tertutup.
Saya simpati dengan Charles kerana beliau seolah-olah seperti burung kakak tua yang sebenarnya tidak faham apa yang diperkatakan. Beliau baru jadi ahli parlimen dah nak tunjuk pandai tapi tidak faham apa beza SELCAT dan PAC. Saya nak tegaskan di sini bahawa tujuan penubuhan PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) dan SELCAT (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan) ini adalah sama. PAC ditubuhkan oleh Dewan Rakyat dan ahli-ahlinya terdiri dari wakil tiap-tiap parti seperti PAS,PKR,DAP,UMNO. PAC akan menyiasat sesebuah kes secara tertutup. Apabila laporan Jawatankuasa PAC ini siap,ia akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat dan semua ahli Dewan termasuklah si Charles Santiago yang menjadi Ahli Parlimen Klang ini juga boleh mengambil bahagian untuk membahaskan isu yang berkaitan dan terpulanglah kepada Dewan untuk membuat keputusan.
SELCAT ditubuhkan oleh Dewan Undangan Negeri untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat tentang bagaimana wang yang diperuntukkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (khususnya ADUN BN) dibelanjakan. Nah, tujuannya lebih kurang sama dengan PAC.
Isunya - Saya mencadangkan proses siasatan SELCAT dilaksanakan seperti PAC iaitu secara tertutup kerana PAC ditubuhkan untuk cari kebenaran bukan untuk tujuan politik tapi SELCAT ditubuhkan dan diperdengar kepada awam yang mana kita tidak tahu sesuatu 'statement' itu ada kebenarannya atau tidak. Kalau bukan untuk tujuan politik sepatutnya SELCAT juga dibincang dan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri untuk diputuskan oleh ahli Dewan.
Sebaliknya SELCAT ditubuhkan memang atas tujuan politik kerana :
Pertama - Kerajaan Pakatan Rakyat telah meminda peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri dengan memasukkan artikel-artikel baru yang mana membolehkan SELCAT dilaksanakan secara terbuka.
Kedua - bagi memastikan tujuan ini tercapai mereka memperkenalkan enakmen baru iaitu Enakmen Menghina Dewan yang bertujuan nak tunjuk kuasa yakni sesiapa yang tidak hadir ke sesi pendengaran SELCAT ini, Dewan Undangan Negeri di bawah enakmen tersebut boleh mengeluarkan waran yang mana individu berkaitan boleh didakwa dan dipenjarakan.
Jelas, Kerajaan Pakatan Rakyat tersepit sehingga terpaksa meminda undang-undang Negeri untuk menunjuk kuasa. Charles Santiago mencanang kepada orang ramai bahawa SELCAT lebih baik dari PAC. Kalau beliau tidak berpuas hati dengan PAC yang menyiasat beberapa isu termasuk PKFZ, kenapa tidak bertanya sahaja kepada wakil DAP yang menjadi ahli jawatankuasa PAC...??? Tidak timbul isu konspirasi menipu rakyat sebagaimana yang didakwa. Dakwaan Charles yang mempertikaikan PAC itu menunjukkan bahawa beliau memandang rendah kepada parlimen dan tidak percaya kepada wakil DAP mahupun PKR yang berada dalam jawatankuasa tersebut...!!!
Inilah pembangkang, perkara masih lagi dalam siasatan tapi mereka mula nak jadi hero. Untuk makluman semua, laporan lengkap mengenai siasatan PKFZ akan dibentangkan di dalam Dewan Rakyat dan saya nak tengok apa respon Ahli Parlimen Klang ini sewaktu laporan ini dibentangkan nanti!
Saya juga nak cabar kerajaan Pakatan Rakyat dan nak tanya apa pendapat Charles terhadap tindakan Dato' Hassan Ali yang secara terang-terangan memberi komen dan pandangan tidak bersetuju dengan prosedur SELCAT yang dianggap menghina pegawai-pegawai kerajaan...??? Adakah beliau juga akan digantung selama setahun seperti Dato' Seri Khir Toyo dan rakan-rakan kerana memberi komen terhadap SELCAT ini...??? Jika tiada tindakan diambil terhadap Dato' Hassan Ali adakah itu yang dikatakan keadilan SELCAT....?????






0 Komen:
Post a Comment